KEM PLKN PADANG KACONG
Isnin, 29 Ogos 2011
SALAM AIDILFITRI
Isnin, 8 Ogos 2011
KERJA BERPASUKAN DI KEM PLKN
Kerja berpasukan merupakan satu cara kerjasama yang perlu diamalkan oleh semua jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem-kem PLKN, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk membantu meningkatkan keupayaan individu dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Pihak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) telah lama mengamalkan kerja berpasukan di kem PLKN tetapi masih tidak begitu ketara dan terdapat sebahagian jurulatih masih kurang memahami konsepnya. JLKN amat menggalakkan amalan pengurusan yang berkualiti di organisasi di bawahnya. Antara penekanan yang diberikan adalah kerja berpasukan. Melalui kerja berpasukan dalam semua sektor akan dapat meningkatkan produktiviti, interaksi antara ahli dalam pasukan, memberi kepuasan kerja serta dapat bersama menyelesaikan sesuatu masalah yang kompleks. Kerja berpasukan ini sangat penting dilaksanakan di peringkat kem PLKN. Jurulatih-jurulatih tidak boleh bekerja secara individu, terutamanya bagi menyelesaikan kerja-kerja yang rumit. Melalui kerja berpasukan dapat menggalakkan penyataan perasaan, inovasi dan perkembangan fikiran ke arah penciptaan yang lebih kreatif. Malahan, kerja berpasukan juga merupakan salah satu dimensi yang boleh menyumbang ke arah peningkatan kualiti latihan dan pendidikan.
Pasukan yang efektif adalah terdiri daripada dua atau lebih individu yang mempunyai matlamat khusus untuk dicapai dan semua ahli terlibat secara aktif untuk merealisasikan matlamat secara usahasama. Kerja berpasukan merupakan suatu unit dalam organisasi yang berinteraksi untuk berkongsi maklumat dan keputusan bagi membantu ahli-ahli pasukan menjalankan tugas dalam ruang sempadan tanggungjawab yang ditetapkan. Ia juga merupakan gabungan usaha, pengetahuan, kemahiran dan kebolehan yang dilakukan secara sinergi untuk menghasilkan prestasi kerja melebihi input yang dilakukan secara bersendirian.
Melalui kerja berpasukan akan membolehkan organisasi meningkatkan hasil tanpa meningkatkan sumber. Kerja berpasukan juga akan dapat menyatupadukan seluruh kakitangan jabatan atau jurulatih modul dalam menjayakan peningkatan kualiti kerja. Kerja berpasukan di kem PLKN terutamanya di kalangan jurulatih multiskill dan jurulatih fizikal akan menentukan keberkesanan PLKN serta JLKN berkenaan dan seterusnya menyumbang ke arah peningkatan kualiti kerja dan kualiti pengajaran dan pembelajaran di kalangan jurulatih serta memberi kepuasan kerja kepada mereka.
Kerja berpasukan akan memudahkan pertukaran maklumat dan idea di kalangan jurulatih samada antara jurulatih dalam modul sama atau modul berlainan, mewujudkan perasaan saling mempercayai, mengukuhkan komunikasi dalam jabatan serta menuju ke arah peningkatan kualiti yang berterusan dalam organisasi PLKN. Telah terbukti bahawa kerja berpasukan boleh memberi input kepada organisasi untuk mencapai kejayaan organisasi berasaskan visi dan misi yang telah ditetapkan.
Manusia mengharapkan adanya kepuasan dalam kerja yang dijalankan, kerana kepuasan kerja dapat memberikan kesan yang positif kepada produktiviti, perlakuan kooperatif, kepuasan hidup, dan kesihatan pekerja. Salah satu faktor yang dapat mempengaruhi kepuasan kerja adalah kepimpinan yang efektif dalam kerja berpasukan, tetapi kualiti seseorang pemimpin tidak menjamin memberi kepuasan kerja kepada orang bawahannya kerana ia amat bergantung pada persepsi dan penerimaan gaya kepimpinan daripada orang bawahannya.
Di kem PLKN, jurulatih selalu menjalankan kerja mengikut modul masing-masing. Jurulatih PLKN perlu saling bekerjasama dalam satu pasukan untuk pembangunan modul dan meningkatkan mutu latihan di kem. Manusia ialah makhluk sosial dan tiada manusia boleh hidup persendirian. Seseorang individu itu perlu kerja berpasukan, itu sahaja cara kita bekerja.
Bagi Jurulatih Multiskill dan Jurulatih Fizikal, kerja berpasukan adalah diperlukan di mana setiap antara mereka mempunyai tanggungjawab bersama untuk memajukan organisasi dengan merancang dan melaksanakan aktiviti yang berkaitan dengan modul serta mengurangkan ketegangan jurulatih. Mereka perlu saling bekerjasama, berkongsi idea, percaya mempercayai untuk memastikan keberkesanan kerja berpasukan terlaksana.
Kerja berpasukan yang efektif di kalangan jurulatih-jurulatih di kem memerlukan pengorbanan kepentingan individu demi keutamaan matlamat dan kepentingan organisasi. Sikap mementingkan diri merupakan salah satu halangan yang besar kepada perkembangan sesebuah kem PLKN. Jika seseorang jurulatih mempunyai idea-idea yang bernas tetapi mereka tidak berkongsi dengan rakan-rakan sekerja, maka segala rancangan yang dirancang akan terbantut dan tidak akan tercapai dengan berkesan.
Kerja berpasukan merupakan asas bagi unit pembelajaran dalam organisasi dan yang boleh belajar dalam organisasi adalah pasukan dan bukan organisasi yang belajar. Jika Jurulatih Multiskill dan Jurulatih Fizikal wujud kesepaduan di antara mereka, maka mudah bagi jabatan mencapai kejayaan. Dengan itu, amatlah wajar diberi perhatian terhadap keberkesanan kerja berpasukan dalam organisasi kem PLKN.
Dalam usaha merealisasi visi dan misi PLKN, Jurulatih Multiskill dan Jurulatih Fizikal perlu mengamalkan satu pendekatan kerja yang sistematik dan berkesan. Beberapa ciri yang perlu wujud dalam kerja berpasukan, iaitu faktor kepimpinan yang efektif, matlamat yang jelas, komunikasi berkesan, penglibatan dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Amalan kerja yang baik dalam jabatan hendaklah menggantikan amalan kerja yang kurang berkesan ataupun diubahsuaikan supaya dapat mencapai ke arah kecemerlangan latihan. Semua jurulatih modul hendaklah berganding bahu dan berusaha membentuk satu kerja berpasukan yang kuat bagi mencapai wawasan, matlamat dan objektif PLKN. Didapati bahawa pekerja yang mempunyai kadar tekanan yang rendah mengalami tahap kepuasan kerja yang tinggi.
Kerja berpasukan amat sesuai diterapkan kepada jurulatih-jurulatih PLKN supaya boleh meringankan beban tugas melalui pembahagian tugas seterusnya dapat menghilang tekanan serta meningkatkan tahap kepuasan kerja. Jurulatih Multiskill dan Jurulatih Fizikal harus menggunakan kelebihan kerja berpasukan untuk menyelesaikan kekangan atau masalah dalam organisasi supaya dapat membentuk satu sistem kerja berpasukan yang mantap dan berkesan. Keberkesanan kerja berpasukan akan sentiasa meningkatkan mutu latihan di tahap yang lebih tinggi. Kerjasama dan sokongan antara satu sama lain amat penting untuk mengerakkan visi dan misi PLKN, bersesuaian dengan moto “Satu Hasrat, Satu Semangat, Satu Tekad” dan dan congangkata “Khidmat Negara Tanggungjawab Bersama”.
Ahad, 7 Ogos 2011
FAEDAH MENDERMA DARAH
UCAPAN terima kasih sememangnya tidak cukup untuk menghargai jasa penderma darah di negara kita yang sudah menyelamatkan jutaan nyawa penduduk negara ini sama ada dalam keadaan kecemasan (kemalangan, kebakaran) atau melalui pemindahan darah terancang seperti untuk pesakit talassemia, leukemia atau anemia yang teruk.
Setiap kali anda menderma darah, anda akan mengeluarkan sebahagian daripada zat besi dari badan. Ada kajian menunjukkan zat besi berlebihan akan mempercepatkan pengoksidanan (oksidasi) kolesterol, satu proses yang dianggap boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan akhirnya mengakibatkan penyakit kardiovaskular (serangan jantung dan strok).
Secara purata tahap zat besi dalam badan seseorang lelaki ialah kira-kira 1,000 miligram tetapi pada wanita (sebelum menopaus atau putus haid) hanyalah 300 miligram saja. Pengeluaran zat besi pada wanita berlaku ketika haid dan inilah sebabnya wanita muda terlindung daripada sakit jantung. Risiko sakit sama dengan lelaki apabila wanita menopaus kerana zat besi mula terkumpul banyak dalam badan mereka. Selain itu secara psikologi, penderma darah sebenarnya berasa lebih tenang kerana mempunyai tahap kesihatan yang baik. Ujian darah akan dilakukan ke atas semua penderma setiap kali mereka menderma darah; walaupun mereka adalah penderma tetap. Ini adalah langkah untuk memastikan semua darah diderma adalah selamat dan tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan penerima.
Langkah ini juga membolehkan penderma mengetahui tahap kesihatan mereka kerana jika didapati penderma menghidap penyakit tertentu, perkara berkenaan akan dimaklumkan segera supaya mereka boleh mendapatkan rawatan sewajarnya.
Orang dewasa mempunyai empat hingga lima liter darah. Setiap kali menderma jumlah darah diambil hanya 300 hingga 450 mililiter atau hanya lapan peratus darah dikeluarkan dari badan penderma. Menderma darah boleh menyihatkan badan kerana badan menghasilkan sel darah baru bagi mengganti darah yang diderma. Secara semula jadi, badan menggantikan semula darah ini dalam masa 72 jam. Sel darah merah mempunyai jangka hayat antara 115 hingga 120 hari dan dalam tempoh ini ia boleh digunakan untuk menyelamatkan banyak nyawa. Badan sentiasa menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel darah yang mati (musnah) akibat tua (selepas 120 hari). Ini sebabnya penderma hanya dibenarkan menderma darah sekali dalam masa tiga bulan. Tidak perlu bimbang kemungkinan masalah kekurangan darah kerana ia tidak akan berlaku. Setiap hari badan kita akan menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel yang mati akibat 'tua'. Malah penderma diberikan pil zat besi dan asid filik untuk merangsang badan menghasilkan sel darah baru sebaik selesai menderma darah. Isu keselamatan seperti kemungkinan mendapat penyakit berjangkit juga tidak timbul kerana proses pengambilan darah adalah selamat dan dilakukan dengan berhati-hati. Banyak langkah keselamatan diambil untuk kebaikan anda dan bakal penerima darah. Semua peralatan seperti jarum baru, bersih dan steril akan digunakan bagi setiap penderma dan jarum yang sudah digunakan akan dibuang. Jadi tiada kemungkinan jarum ini terkena penderma lain. Sebelum darah diambil, tekanan darah akan diukur bagi memastikan tekanan darah adalah normal, diikuti ujian pengenalan jenis darah. Sampel sama akan digunakan untuk ujian darah seterusnya. Selepas contoh darah diambil untuk pengenalan jenis dan ujian darah, pegawai perubatan akan memberi kaunseling bagi memastikan anda penderma berisiko rendah. Satu unit darah (antara 300 hingga 450 mililiter) dapat menyelamatkan nyawa mangsa demam denggi, kemalangan (yang kehilangan banyak darah), ibu yang tumpah darah ketika bersalin, pesakit talassemia, anemia, leukemia dan haemofilia, mangsa kebakaran serta bayi yang perlu menjalani pertukaran darah. Apabila anda menderma darah, tidak perlu fikir siapa penerimanya atau bagaimana ia akan digunakan. Setiap hari ada saja orang memerlukan darah untuk menyambung hidup. Darah yang diderma boleh disimpan selama 42 hari dalam peti dingin beku sebelum diberikan kepada golongan yang memerlukan.
Darah yang diderma dibahagi mengikut komponennya iaitu sel darah merah, plasma, platelet, plasma beku segar, cryoprecipitate, cryosupernatant, Faktor VIII dan IX - semuanya ada kegunaan tersendiri. Sel darah merah digunakan untuk merawat pesakit talassemia, leukemia, orang yang kehilangan darah (mangsa kemalangan, kebakaran, pembedahan) dan kekurangan darah (anemia). Manakala produk darah seperti plasma beku segar dan Faktor VIII serta IX untuk pesakit haemofilia.
*** dipetik dari METRO AHAD 13/06/2010 ***
Khamis, 21 Julai 2011
Langgan:
Catatan (Atom)