Kerja berpasukan merupakan satu cara kerjasama yang perlu diamalkan oleh semua jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem-kem PLKN, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk membantu meningkatkan keupayaan individu dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Pihak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) telah lama mengamalkan kerja berpasukan di kem PLKN tetapi masih tidak begitu ketara dan terdapat sebahagian jurulatih masih kurang memahami konsepnya. JLKN amat menggalakkan amalan pengurusan yang berkualiti di organisasi di bawahnya. Antara penekanan yang diberikan adalah kerja berpasukan. Melalui kerja berpasukan dalam semua sektor akan dapat meningkatkan produktiviti, interaksi antara ahli dalam pasukan, memberi kepuasan kerja serta dapat bersama menyelesaikan sesuatu masalah yang kompleks. Kerja berpasukan ini sangat penting dilaksanakan di peringkat kem PLKN. Jurulatih-jurulatih tidak boleh bekerja secara individu, terutamanya bagi menyelesaikan kerja-kerja yang rumit. Melalui kerja berpasukan dapat menggalakkan penyataan perasaan, inovasi dan perkembangan fikiran ke arah penciptaan yang lebih kreatif. Malahan, kerja berpasukan juga merupakan salah satu dimensi yang boleh menyumbang ke arah peningkatan kualiti latihan dan pendidikan.
Pasukan yang efektif adalah terdiri daripada dua atau lebih individu yang mempunyai matlamat khusus untuk dicapai dan semua ahli terlibat secara aktif untuk merealisasikan matlamat secara usahasama. Kerja berpasukan merupakan suatu unit dalam organisasi yang berinteraksi untuk berkongsi maklumat dan keputusan bagi membantu ahli-ahli pasukan menjalankan tugas dalam ruang sempadan tanggungjawab yang ditetapkan. Ia juga merupakan gabungan usaha, pengetahuan, kemahiran dan kebolehan yang dilakukan secara sinergi untuk menghasilkan prestasi kerja melebihi input yang dilakukan secara bersendirian.
Melalui kerja berpasukan akan membolehkan organisasi meningkatkan hasil tanpa meningkatkan sumber. Kerja berpasukan juga akan dapat menyatupadukan seluruh kakitangan jabatan atau jurulatih modul dalam menjayakan peningkatan kualiti kerja. Kerja berpasukan di kem PLKN terutamanya di kalangan jurulatih multiskill dan jurulatih fizikal akan menentukan keberkesanan PLKN serta JLKN berkenaan dan seterusnya menyumbang ke arah peningkatan kualiti kerja dan kualiti pengajaran dan pembelajaran di kalangan jurulatih serta memberi kepuasan kerja kepada mereka.
Kerja berpasukan akan memudahkan pertukaran maklumat dan idea di kalangan jurulatih samada antara jurulatih dalam modul sama atau modul berlainan, mewujudkan perasaan saling mempercayai, mengukuhkan komunikasi dalam jabatan serta menuju ke arah peningkatan kualiti yang berterusan dalam organisasi PLKN. Telah terbukti bahawa kerja berpasukan boleh memberi input kepada organisasi untuk mencapai kejayaan organisasi berasaskan visi dan misi yang telah ditetapkan.
Manusia mengharapkan adanya kepuasan dalam kerja yang dijalankan, kerana kepuasan kerja dapat memberikan kesan yang positif kepada produktiviti, perlakuan kooperatif, kepuasan hidup, dan kesihatan pekerja. Salah satu faktor yang dapat mempengaruhi kepuasan kerja adalah kepimpinan yang efektif dalam kerja berpasukan, tetapi kualiti seseorang pemimpin tidak menjamin memberi kepuasan kerja kepada orang bawahannya kerana ia amat bergantung pada persepsi dan penerimaan gaya kepimpinan daripada orang bawahannya.
Di kem PLKN, jurulatih selalu menjalankan kerja mengikut modul masing-masing. Jurulatih PLKN perlu saling bekerjasama dalam satu pasukan untuk pembangunan modul dan meningkatkan mutu latihan di kem. Manusia ialah makhluk sosial dan tiada manusia boleh hidup persendirian. Seseorang individu itu perlu kerja berpasukan, itu sahaja cara kita bekerja.
Bagi Jurulatih Multiskill dan Jurulatih Fizikal, kerja berpasukan adalah diperlukan di mana setiap antara mereka mempunyai tanggungjawab bersama untuk memajukan organisasi dengan merancang dan melaksanakan aktiviti yang berkaitan dengan modul serta mengurangkan ketegangan jurulatih. Mereka perlu saling bekerjasama, berkongsi idea, percaya mempercayai untuk memastikan keberkesanan kerja berpasukan terlaksana.
Kerja berpasukan yang efektif di kalangan jurulatih-jurulatih di kem memerlukan pengorbanan kepentingan individu demi keutamaan matlamat dan kepentingan organisasi. Sikap mementingkan diri merupakan salah satu halangan yang besar kepada perkembangan sesebuah kem PLKN. Jika seseorang jurulatih mempunyai idea-idea yang bernas tetapi mereka tidak berkongsi dengan rakan-rakan sekerja, maka segala rancangan yang dirancang akan terbantut dan tidak akan tercapai dengan berkesan.
Kerja berpasukan merupakan asas bagi unit pembelajaran dalam organisasi dan yang boleh belajar dalam organisasi adalah pasukan dan bukan organisasi yang belajar. Jika Jurulatih Multiskill dan Jurulatih Fizikal wujud kesepaduan di antara mereka, maka mudah bagi jabatan mencapai kejayaan. Dengan itu, amatlah wajar diberi perhatian terhadap keberkesanan kerja berpasukan dalam organisasi kem PLKN.
Dalam usaha merealisasi visi dan misi PLKN, Jurulatih Multiskill dan Jurulatih Fizikal perlu mengamalkan satu pendekatan kerja yang sistematik dan berkesan. Beberapa ciri yang perlu wujud dalam kerja berpasukan, iaitu faktor kepimpinan yang efektif, matlamat yang jelas, komunikasi berkesan, penglibatan dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Amalan kerja yang baik dalam jabatan hendaklah menggantikan amalan kerja yang kurang berkesan ataupun diubahsuaikan supaya dapat mencapai ke arah kecemerlangan latihan. Semua jurulatih modul hendaklah berganding bahu dan berusaha membentuk satu kerja berpasukan yang kuat bagi mencapai wawasan, matlamat dan objektif PLKN. Didapati bahawa pekerja yang mempunyai kadar tekanan yang rendah mengalami tahap kepuasan kerja yang tinggi.
Kerja berpasukan amat sesuai diterapkan kepada jurulatih-jurulatih PLKN supaya boleh meringankan beban tugas melalui pembahagian tugas seterusnya dapat menghilang tekanan serta meningkatkan tahap kepuasan kerja. Jurulatih Multiskill dan Jurulatih Fizikal harus menggunakan kelebihan kerja berpasukan untuk menyelesaikan kekangan atau masalah dalam organisasi supaya dapat membentuk satu sistem kerja berpasukan yang mantap dan berkesan. Keberkesanan kerja berpasukan akan sentiasa meningkatkan mutu latihan di tahap yang lebih tinggi. Kerjasama dan sokongan antara satu sama lain amat penting untuk mengerakkan visi dan misi PLKN, bersesuaian dengan moto “Satu Hasrat, Satu Semangat, Satu Tekad” dan dan congangkata “Khidmat Negara Tanggungjawab Bersama”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan